Thursday, October 28, 2021

KONSEP PEMBACAAN



Maksud Pembacaan


1. Mendapatkan maklumat dari buku atau mengasimilasi tulisan, perkataan atau perhubungan individu dengan maklumat melalui pembelajaran visual yang melalui beberapa peringkat:

1.1. Pengetahuan.

1.1.1. Pembaca mesti tahu simbol huruf abjad. Ia mesti wujud sebelum pembacaan berlaku.

1.2. Asimilasi.

1.2.1. Proses fizikal yang melibatkan pembalikan cahaya dari perkataan yang diterima oleh mata dan diterjemahkan oleh saraf optik pada otak.

1.3. Intergrasi Dalaman.

1.3.1. Pemahaman asas yang melibatkan semua bahagian maklumat yang dibaca dengan bahan-bahan berkaitan.

1.4. Integrasi Luaran.

1.4.1. Merangkumi analisis, kritikan, penghargaan atau penentangan. Satu proses yang menyebabkan gabungan seluruh pengetahuan lama dengan pengetahuan baru.

1.5. Penyimpanan Maklumat.

1.5.1. Penyimpanan maklumat selalu menjadi masalah kepada pembaca. Penyimpanan maklumat penting untuk membantu murid mengeluarkan kembali maklumat semasa peperiksaan.

1.6. Pengeluaran Maklumat.

1.6.1. Kebolehan mengeluarkan maklumat apabila dikehendaki.

1.7. Komunikasi.

1.7.1. Keperluan untuk menggunakan bahan-bahan yang dibaca terutamanya keupayaan berfikir.

2. Masalah Pembacaan.

2.1.Masalah berhubung dengan pembacaan

- Penglihatan
- Sukar menganalisi
- Persekitaran tidak
merangsangkan pembacaan
- Kelajuan
- Tidak gemar
membaca
- Pemahaman
- Kurang
konsentrasi
- Bacaan melompat ke belakang
- Motivasi diri
- Jumlah Perkataan
- Perbendaharaan kata
- Faktor masa
- Menyimpan
maklumat
- Mengingat kembali

3. Sebab Masalah Pembacaan Timbul.

- Cuba membaca setiap perkataan
- Cuba menyebut setiap perkataan.
- Pergerakan mata lambat
- Penglihatan kabur
- Tidak faham apa yang dibaca
- Lemah perbendaharaan kata
-- - Tidak memberi tumpuan kepada apa yang dibaca
- Tiada motivasi
- Malas membaca
- Gangguan luar seperti bunyi bising
- Membaca melompat-lompat

4. Petua Membaca Dengan Baik

4.1.Niatkan membaca

4.1.1.Bisikan pada hati bahawa anda membaca untuk menambah ilmu dan anda memohon kepada Allah agar memudahkan anda faham serta ingat pada apa yang anda baca. Mulakan dengan membaca Bismillah dan membaca doa

4.2.Tenang

4.2.1.Duduk dengan cara yang menyelesakan anda. Belakang ditegakkan agar anda dapat belajar membaca dan bernafas dengan betul dan selesa.

4.3.Beri Tumpuan

4.3.1.Cuba berada dalam suasana yang memudahkan anda membaca tanpa gangguan seperti elakkan dari membaca berhampiran dengan tingkap. Fokus kepada apa yang sedang anda baca. Kalau boleh anda elakkan dari sebarang bentuk gangguan dan kebisingan. Beri tumpuan penuh terhadap bahan yang dibaca. Boleh sediakan soalan membaca dan pilih jawapan kepada soalan ketika membaca.




4.4.Kedudukan Buku

4.4.1.Jika anda membaca dengan cara menjauhkan buku dari mata anda, ianya bukan saja berfaedah menjaga kesihatan mata, malah ia juga membolehkan anda membaca dengan lebih pantas dan mengingat dengan lebih baik kerana anda dapat gambaran seluruh muka surat. Kedudukan buku sebaik-baiknya adalah 46 cm - 60cm.

4.5.Gerakkan Mata

4.5.1.Cara membaca yang betul ialah mata saja yang bergerak dan bukannya kepala. Gunakan jari telunjuk untuk membantu anda ketika membaca iaitu untuk menolong anda menunjukkan ayat-ayat yang anda baca. Maklumat yang terpenting hendaklah dibaca terlebih dahulu.

4.6.Perkataan

4.6.1.Membaca hendaklah dilakukan dengan “mengenal” bukannya “mengeja”. Apabila bertemu perkataan yang sukar hendaklah merujuk kamus.

4.7.Kelajuan.

4.7.1.Kelajuan sederhana merupakan cara yang baik untuk membaca secara umumnya. Dan cuba sesuaikan kelajuan membaca itu dengan susah senangnya bahan yang anda baca. Elakkan daripada membaca dengan terlalu laju dan terlalu perlahan. Baca cepat untuk mendapatkan idea utama.

4.8.Kedudukan Meja.

4.8.1.Membaca menggunakan meja bacaan yang sesuai. Duduklah menghadap cermin besar. Apabila terasa mengantuk, pandanglah wajah sendiri di dalam cermin. Jelirkan lidah atau sergahlah muka anda supaya anda jadi tidak mengantuk.

4.9.Jangka masa Membaca

4.9.1.Masa membaca yang baik ialah 25 – 30 minit dan kemudiannya berehat selama 5 minit. Semasa berehat, minum air setengah gelas, lakukanlah senaman ringkas dan beralih daripada tempat belajar. Selepas itu barulah disambung semula pembacaan tersebut.





4.10.Tempat Membaca

4.10.1.Belajarlah di tempat yang sesuai, misalnya bukan tempat orang lalu lalang atau tempat yang terlalu bising. Jika mendengar muzik ketika membaca, pendengaran muzik adalah sederhana nyaringnya.


JENIS-JENIS BACAAN

1. Bacaan Luncuran (skimming )

Membaca secara skimming adalah bentuk bacaan selektif. Bukan semua perkataan yang tercetak di dalam buku itu dibaca. Tujuan bacaan ialah untuk mendapat maklumat secara menyeluruh atau bagi mendapat gambaran am perkara yang dibaca.

Tujuan skimming ialah untuk :

1. Mengenalpasti perkara yang dibaca.
2. Mengetahui pendapat pengarang mengenai sesuatu isu.
3. Mengetahui jenis maklumat yang diberi.
4. Untuk mengetahui stail pengarang.

2. Bacaan imbasan (scanning)

Membaca secara scanning ialah untuk pembacaan yang selektif di mana anda mencari fakta atau maklumat yang tertentu.

Tujuan scanning ialah :

1. Untuk mencari maklumat yang tertentu, contohnya ; nama, tarikh, harga, nombor telefon, tempat dan sebagainya.
2. Untuk mencari faktor tertentu.
3. Untuk mencari satu bahagian yang perlu dibaca.
4. Mencari semua maklumat bagi satu tajuk yang diperlukan.

3. Bacaan Tinjauan ( Extensive)

Sepuluh langkah yang perlu dilakukan membuat tinjauan untuk bacaan :

1. Baca judul utama dan judul tambahan serta ulasan di kulit buku. Kenali sumber, pengarang, penerbit dan tempat diterbitkan.
2. Lihat tarikh penerbitan.
3. Semak indeks untuk mengetahui perkara yang disentuh oleh pengarang dan cara susunannya.
4. Baca prakata, pendahuluan dan pengenalan pada buku tersebut.

5. Semak daftar isi kandungan. Telitikan susunannya dan pastikan sekiranya
terdapat ulasan atau ringkasan bagi setiap bab.

6. Lihat peta, graf, ilustrasi, carta untuk menambah kefahaman mengenai
perkara yang terdapat di dalam buku. Lihat juga tajuk utama dan tajuk kecil serta soalan-soalan yang dikemukakan oleh pengarang.
7. Baca dua perenggan permulaan dan dua perenggan penamat untuk
mengetahui dengan pantas perkara yang hendak diperkatakan oleh
pengarang.
8. Baca ulasan buku yang selalunya disiarkan di dalam akhbar dan majalah.
9. Kaji hasil tinjauan dan buat keputusan adakah buku itu yang anda perlukan.
10. Akhiri tinjauan dengan menjawab soalan :
Apa, siapa, bila, di mana mengapa, bagaimana.

Bacaan menelaah ( intensive)

Bacaan bagi tujuan menelaah adalah bacaan yang paling lambat, teliti dan mendalam. Ia melibatkan pemikiran secara kritis, analitik. Bagi tujuan mentafsir, menilai dan merenung kembali maklumat yang dibaca.

Bacaan ini bertujuan untuk menjawab soalan bagaimana dan mengapa dengan lebih mendalam untuk ;

- mentafsir, menilai, membanding, mendefinisikan, memberi huraian.

Bacaan menelaah memerlukan kefahaman yang mendalam. Oleh itu anda perlu mencatat nota selepas membaca.

MENGGENGGAM BARA

 “Manusia adalah kejadian yang sempurna tetapi apa yang manusia lakukan selalunya yang kurang sempurna.”


“Tidak penting apa yang orang lain fikirkan tentang diri kita tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang kita fikirkan tentang diri kita dan orang lain.”

“Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang pertama. Oleh itu, kenalilah diri anda sebelum anda mengenali orang lain.”

“Lebih baik kita tahu apa yang kita tak tahu daripada kita tak tahu apa yang kita tahu.”

“Langkah pertama untuk menuju kecemerlangan adalah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap diri sendiri.”

“Jangan mengharapkan harapan orang lain. Sebaliknya lakukannya sendiri.”

“Nilailah diri sendiri sebelum anda dinilaikan oleh orang lain.”

“Setiap label yang kita berikan pada diri kita akan mempengaruhi perlakuan dan prestasi kita.”

“Secara sedar atau tidak, kita yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Keinginan sejati untuk mengenal diri akan membantu anda menangani masalah sedangkan orang lain masih berlegar-legar di sekelilingnya.”

“Diri kita adalah sahabat yang paling baik atau musuh yang paling ketat.”

“Jangan mengharapkan orang lain menyayangi diri kita. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menyayangi diri kita dan orang lain.”

“Setelah kita mengenali diri kita sendiri, kita akan menyedari bahawa kejayaan adalah hak mutlak kita.”

“Satu pegangan yang bodoh dan sia-sia adalah melakukan sesuatu yang sama berulang-ulang tetapi mengharapkan hasil yang berbeza-beza.”

“Kelemahan utama manusia bukanlah kerana ia tidak mendapat atau tidak memperoleh apa yang belum dapat dipunyainya tetapi adalah kerana kegagalannya menggunakan apa yang dipunyainya.”

Kekuatan diri datangnya dari rahmat Tuhan melalui kebolehan kita mengawal pemikiran kita.”

“Ego kita yang selalu mendorong supaya kita melihat kelemahan diri dan menghalang kita daripada melihat kekuatan diri. Untuk membanteras ego, kita perlu menyayangi diri kita tanpa syarat dan elakkan dari berpura-pura.”

“Kenal pasti kelemahan diri anda dan bertindak mulai sekarang.”

“Jangan takut kepada kegagalan kerana apa yang paling ditakuti ialah anda tidak mempunyai cita-cita untuk mencuba.”

“Sebagai seorang insan, kita tidak boleh gagal dalam hidup ini kerana kita dicipta bukan untuk gagal.”

“Kunci kepada kejayaan adalah dengan mengenali diri sendiri.”

“Jika mahu menjadi manusia yang berjaya, jangan sekali-kali memikirkan tentang kegagalan.”

“Kegagalan itu hanyalah kekalahan sementara tetapi kekecewaan adalah kegagalan yang berkekalan.”

“Jangan takut kepada matlamat yang gagal dicapai kerana yang paling ditakuti ialah tiada matlamat untuk dicapai.”

BAGAIMANA HENDAK JADI "SMART"?

 KITA sering kali mendengar istilah "SMART" yang digunakan dalam melaksanakan pelbagai urusan. Pada umumnya sekiranya istilah tersebut ditujukan kepada manusia maka ianya membawa pengertian bahawa seseorang individu itu perlu menggunakan daya intelektualnya serta digabung dan diimbangkan dengan aspek fizikal dan spiritual supaya segala pilihan dan tugasan yang dibuat dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik serta memberi faedah tanpa sebarang pembaziran.


Pada penulisan saya kali ini saya cuba menjadikan perkataan "’SMART" sebagai satu perkataan akronim serta membuat huraian bagaimana perkataan tersebut dapat menjadikan satu refleksi dalam urusan kehidupan harian kita.

Pada saya "SMART" membawa pengertian Sentiasa Mahu Ambil Risiko dan Tanggungjawab. Huraiannya adalah seperti berikut:-

· S (Sentiasa) – Sentiasa membawa pengertian sesuatu yang dilakukan itu perlulah secara konsisten atau berterusan. Kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan semalaman tetapi melalui ketekunan yang diamalkan setiap hari sedikit demi sedikit secara berterusan. Pepatah melayu ada mengatakan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit."
Usaha secara berterusan setiap hari dapat mengurangkan tekanan. Tekanan akan terasa sekiranya sesuatu tugasan itu dibuat hasil daripada tangguhan kerja dari masa yang lalu.
· M (Mahu) – Kemahuan adalah punca segala kejayaan. Ianya lahir dari jiwa yang suci. Kemahuan juga ada kaitannya dengan matlamat hidup. Seseorang yang mempunyai matlamat sama ada matlamat jangka panjang atau matlamat jangka pendek akan sentiasa bermotivasi dan berkeinginan untuk terus berusaha ke arah kejayaan berketepatanlah dengan pepatah melayu berbunyi " di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."
· A (Ambil) - Segala keinginan tidak akan tercapai sekiranya kita tidak melakukannya. Dengan lain perkataan, sekiranya seseorang itu tidak mengambil inisiatif untuk melaksanakan segala yang diidamkan maka ianya hanya akan wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. Oleh itu tindakan harus diambil untuk merealisasikan matlamat yang menjadi hasrat dalam jiwa kita. "Bulat tidak akan datang menggolek dan pipih tidak akan datang melayang" tanpa usaha yang gigih.
· R (Risiko) - Risiko membawa maksud cabaran. Kehidupan ini penuh dengan cabaran. Seseorang yang inginkan kejayaan harus sanggup menghadapi cabaran. Cabaran dapat menggerakkan kita ke arah kehidupan yang lebih dinamik. Manusia ingin mendaki Gunung Everest kerana ianya penuh dengan cabaran. Cabaran juga akan mematangkan seseorang itu dalam meniti usianya.
· T (Tanggungjawab) - Tanggungjawab adalah sifat yang amat diperlukan pada setiap individu. Seseorang yang bertanggungjawab akan berusaha untuk melakukan sesuatu tindakan yang dapat memberi faedah kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Seseorang yang bertanggungjawab juga akan cuba mengelak membuat sebarang tindakan yang boleh mendatang kerugian serta keburukan.

Dari huraian yang ringkas tadi kita dapati seseorang yang "SMART" adalah mereka yang sentiasa mahu ambil risiko dan tanggungjawab.
Sebagai seorang pelajar, anda perlulah sentiasa mempunyai keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan sudah tentulah anda akan menempuh pelbagai cabaran.

Sebagai seorang insan anda harus cekal menghadapi cabaran. Cabaran adalah merupakan mainan dan asam garam dalam kehidupan. Kesabaran adalah ubat yang paling utama dalam menghadapi cabaran dan kesabaran itu juga adalah separuh daripada iman. Sebagai seorang pelajar anda juga perlulah bertanggungjawab di atas segala tindakan. Anda perlulah percaya serta yakin terhadap kebolehan diri sendiri. Sekiranya anda yakin dan bertanggungjawab di atas segala tindakan yang anda lakukan, maka insyaAllah tindakan yang akan anda ambil itu adalah sesuatu yang diredhai Allah.

Oleh itu lakukan sesuatu tindakan itu dengan hati yang jujur dan ikhlas, tanpa dipaksa dan dengan penuh rasa tanggungjawab. Sebagai seorang guru pula sifat berani mengambil risiko dan tanggungjawab adalah merupakan sifat yang paling mulia. Sesungguhnya golongan guru sentiasa menanggung risiko dan tanggungjawab di dalam melaksanakan tugas mereka.

Risiko dan tanggungjawab ini dapat dilihat melalui pelbagai perancangan dan aktiviti yang dijalankan di sekolah-sekolah ke arah mewujudkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Mereka lakukan ini tanpa mengira masa, wang ringgit dan tenaga.

Sesungguhnya seseorang yang takut pada risiko bukan sahaja membantutkan segala kreativiti yang ada pada diri mereka malah ianya merupakan penghalang ke arah proses anjakan paradigma.

Berdasarkan huraian di atas adakah anda seorang yang "SMART"? Buatlah satu refleksi diri sendiri berdasarkan ciri-ciri yang dihuraikan di atas.

Wednesday, October 6, 2021


 BICARA ENDEMIK BERSAMA IBU BAPA DAN GURU-GURU - SESI MOTIVASI

ANJURAN BERSAMA PIBG DAN UBK SMK LA SALLE SENTUL

PRINSIP- PRINSIP KEJAYAAN

 



Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Ia perlu bermula dalam fikiran
sebelum ia menjadi kenyataan. Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui
sebelum sesuatu kejayaan itu mampu direalisasikan.

Bertanggung jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari ini. Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan maka andalah yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa lagi? Maknanya kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan segala kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda. Hanya dengan anda mengakui hakikat yang penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini dengan lebih berkeyakinan. Anda tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda lakukan setiap hari. Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda, bukan orang lain". Mari kita tinjau bagaimana Kolonel Sanders, orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken mencipta nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa cukup kecewa. Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah kecil yang diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Malangnya, hasrat beliau ditolak. Adakah beliau berputus asa?? Tidakkk... beliau terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata tidakkkk... orang ke-1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang ke-1008 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS". Sembilan tahun kemudian, setelah bisnesnya maju, Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan harga US$2,000,000. Itulah ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka yang mula mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya. Tanpa ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima habuan pencen bulanan semata-mata.

Anda juga pasti mahukan kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti cerita Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali sahaja. Tidak sampai pun 10 kali. Inikah cara usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu datang dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan pulangannya. Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan dan ribuan kali... Sedikit perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua, untuk mendapat sepuluh kali ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya perlu berbeza sedikit daripada mereka sekeliling anda. Berbeza cara fikir, berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih baik
sedikit daripada manusia biasa. Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang
luarbiasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa.

Cuba perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan kuda, kuda yang memenangi tempat pertama akan mendapat wang tunai RM100,000 ringgit. Kuda ditempat kedua pula mendapat RM20,000 ringgit. Kuda ditempat pertama mendapat ganjaran lima kali ganda lebih besar dari kuda yang kedua. Adakah ini juga bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju dari kuda yang kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda lebih bersungguh-sungguh dari kuda kedua? Atau kuda yang pertama ditunggangi oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari kuda yang kedua? Jawapannya pasti sahaja TIDAK. Kuda pertama mungkin mendahului kuda kedua sekadar satu langkah sahaja ke garisan penamat. Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk menentukan pemenang. Mungkin kuda pertama mendahului seinci sahaja dari kuda kedua. Tetapi seinci ini memberikan pulangan 5 kali ganda lebih besar!

Begitulah juga dalam hidup ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Persepsi membentuk diri. Yang ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang berlaku terhadap anda dan disekeliling anda. Kehidupan bukanlah nasib tetapi lebih kepada pilihan. Anda boleh memilih untuk senang atau susah. Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kehendak anda. Persepsi anda terhadap sesuatu natijah pastinya mempengaruhi emosi anda. Seterusnya ia akan mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan hasil iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat dalam carta alir dibawah.

Dalam rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting? Saya yakin anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda fikir bahawa rakan anda tidak boleh diharap. Tidak berpegang pada janji. Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi cuba ubah cara fikir anda sekarang. Cuba fikirkan, jangan-jangan ada kemalangan. Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian. Bagaimana emosi anda sekarang? Adakah anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak. Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang anda ambil bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk pula dipengaruhi oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung kepada cara fikir atau persepsi anda. Oleh itu, mulai saat ini mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda. Yang membuatkan anda kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira berburuk sangka dan banyak bersabar. Ingat setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi. Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada keadaan dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan ini kebiasaannya merugikan kehidupan anda.

Ingatlah, kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan yang akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran yang cukup bermakna. Ubah cara fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan anda. Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru. Ingat, Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk menjadi manusia luar biasa. Seterusnya mencapai kejayaan berlipat kali ganda seperti kisah lumba kuda tadinya

PROGRAM PAMERAN KARNIVAL KERJAYA ANJURAN UBK SMKLSS SEMPENA BULAN KAUNSELING KEBANGSAAN TAHUN 2022

  Sebanyak 5 buah kolej/ universiti akademik dan kemahiran serta PTPTN membuka booth dalam pameran karnival kerjaya di SMK La Salle Sentul, ...