Monday, January 24, 2022

Kenapa bosan ketika belajar?

 PERASAAN bosan serta tidak bersemangat untuk belajar adalah antara 'penyakit' yang sering menyerang pelajar dalam menghadapi pelajaran terutamanya dalam persiapan menghadapi peperiksaan.

Perasaan bosan ini boleh meninggalkan kesan yang amat buruk kepada diri pelajar, malah ia akan menjejaskan pembentukan tabiat dan peribadi yang mulia seseorang individu.

Tulisan ini akan memfokuskan apakah faktor yang menyebabkan seseorang individu itu menjadi bosan ketika belajar. Faktor ini boleh dikategorikan kepada faktor fizikal, faktor persekitaran dan faktor mental.
Faktor fizikal lebih dirujuk kepada persiapan dan amalan diri secara luaran. Ianya termasuklah keadaan kesihatan seseorang pelajar iaitu ianya boleh menjejas keceriaan dan keseronokan belajar.

Keadaan kesihatan ini juga boleh dikaitkan dengan amalan pemakanan. Pemakanan yang tidak seimbang serta kurangnya zat-zat tertentu boleh menyebabkan pelajar kurang bertenaga serta selalu mengalami keletihan.
Mengantuk merupakan satu lagi gejala yang amat teruk dihadapi oleh para pelajar. Tidur lewat adalah punca gejala ini. Fenomena ini kerap kali berlaku pada pelajar-pelajar yang hendak menghadapi peperiksaan terutamanya terhadap pelajar yang tinggal di asrama sekolah.

Keadaan bilik darjah ataupun rumah adalah merupakan faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi kebosanan pelajar dalam menghadapi peperiksaan terutamanya pada pelajar yang tinggal di asrama sekolah.
Keadaan bilik darjah ataupun rumah adalah merupakan faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi kebosanan pelajar dalam menghadapi pelajaran.
Bilik darjah yang terlalu ramai, panas dan bising boleh menganggu penumpuan proses pembelajaran. Tambahan pula sekiranya seseorang guru gagal mengawal bilik darjah serta kurang mengatur strategi pengajaran yang menarik boleh memburuk lagi keadaan.

Faktor mental adalah faktor yang melibatkan persepsi atau tanggapan seseorang pelajar terhadap pelajaran. Jika seseorang pelajar menganggap sesuatu mata pelajaran itu susah maka berkemungkinan besar usaha untuk membaiki atau mencari jalan penyelesaian akan terbantut.
Kerap kali tanggapan tentang sukarnya mempelajari sesuatu mata pelajaran adalah berpunca daripada kurangnya penumpuan di dalam kelas, tidak memahami atau terkeliru dengan konsep yang sebenarnya tidak bertanya untuk mendapat penjelasan serta kurang membuat latihan.
Amalan ini akhirnya menjerumuskan para pelajar ke dalam keadaan bingung, keliru, kabur dan hilang pedoman. Akhirnya rasa bosan dan benci untuk belajar akan menyerang jiwa para pelajar.
Sesungguhnya pelajar cemerlang bukanlah pelajar yang pandai dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang mempunyai gaya hidup yang sihat iaitu berkemampuan mengurus sistem pembelajarannya secara lebih berstruktur, sistematik serta berfokus.

Langkah-langkah yang sewajarnya harus diambil agar gejala kebosanan dalam menghadapi pelajaran ini dapat dikikis di bangku sekolah lagi sebelum mereka terbawa-bawa apabila mereka berada di pusat pengajian tinggi nanti.

No comments:

Post a Comment

PROGRAM PAMERAN KARNIVAL KERJAYA ANJURAN UBK SMKLSS SEMPENA BULAN KAUNSELING KEBANGSAAN TAHUN 2022

  Sebanyak 5 buah kolej/ universiti akademik dan kemahiran serta PTPTN membuka booth dalam pameran karnival kerjaya di SMK La Salle Sentul, ...